Aishah Artis Pertama Bakal Bertanding Pilihan Raya Umum PRU 13

Aishah Artis Pertama Bakal Bertanding Pilihan Raya Umum (PRU) 13?


KUALA LUMPUR – Platun lagu Janji Manismu, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Arifin, 48, dikatakan bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU13), pada tidak lama lagi.
Ia berikutan terdapat sumber memaklumkan bahawa penyanyi berkenaan bakal menjadi artis pertama negara bergelar Yang Berhormat (YB) dan akan diletakkan bertanding dalam PRU13.
Memetik laporan Harian Metro, hari ini,  penyanyi terbabit yang juga ahli sebuah parti politik berkata, dia hanya menyedari perkara itu hangat diperkatakan tatkala tarikh menjelang PRU yang semakin hampir.
“Setakat ini, saya belum mendapat kepastian mengenai pencalonan itu dan beranggapan ia hanyalah khabar angin. Lebih baik tunggu Parlimen dibubarkan dulu, barulah boleh ada kata putusnya.
“Saya tidak pernah mengharapkan bergelar calon sebaliknya menyedari timbulnya cakap-cakap orang mengenai penamaan berkenaan.
“Sebelum ini ramai yang bercakap mengenai perkara ini, tetapi tidak tahulah, tunggu dan lihat saja,” katanya.
Sementara itu, apabila ditanya adakah dia berminat untuk bertanding seandainya diberi peluang, Aishah berkata dia akan mempertimbangkannya terlebih dulu.
“Kalau ada peluang, saya akan berfikir tindakan selanjutnya.
“Kena Solat Istiqarah dan kena tahu sama ada masyarakat akan menerima atau sebaliknya,” jelasnya.
Sebelum ini, Aishah pernah menimbulkan kejutan apabila gambar dia melibatkan diri dengan kempen Bersih 3.0 tersebar luas di internet.
Bukan itu sahaja, dia juga pernah berucap di atas pentas PAS bahkan berkongsi pengalamannya menerusi program ‘Artis Berubah, Rakyat Merobah, BN Rebah’ di perkarangan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak pada 4 April tahun lalu.
Oleh: NURUL NAFISAH MAZLAN

Artis Popular Bakal Jayakan Konsert Amal YA1M



HULU KLANG – Lebih sepuluh orang artis popular bakal melakukan persembahan pada konsert amal YA1M 2013 yang dianjurkan oleh Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M ) pada 3 November depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pengerusinya, Datuk DJ Dave, berkata, artis popular yang terlibat pada konsert ini dipilih daripada pelbagai bangsa dan peringkat umur bagi memperjuangkan konsep 1 Malaysia.

“Jika dilihat secara terperinci pemilihan artis dibuat daripada pelbagai kaum Melayu, India, Cina termasuk Sabah dan Sarawak.

“Berkemungkinan juga ada penambahan nama artis yang akan diumumkan lagi kerana buat masa ini ada beberapa senarai nama yang masih belum buat keputusan untuk sertai atau tidak, ” katanya pada sidang media Konsert Amal YA1M 2013- Satu Suara Satu Matlamat, di sini, Selasa.

Antara artis yang bakal membuat persembahan ialah Datuk David Arumugam, Fredo, Hafiz AF, Fauziah Latif, Najwa Latif, Marsha, Jimmy Palikat, Lockup dan So Winci.
DJ Dave.

Tambah DJ Dave konsert ini merupakan projek pertama mereka dalam mencapai objektif penubuhannya iaitu menjaga kebajikan semua artis tanah air.

Katanya, sebelum ini YA1M menerima dana RM2 juta daripada kerajaan yang diberikan kepada hampir 400 artis veteran daripada pelbagai bangsa dan agama.

“Inilah kali pertama YA1M mengadakan projek untuk menambah tabung pertubuhan, dengan menjual meja konsert.

“Sebanyak 100 meja akan dijual pada harga serendah RM2,000 hingga RM20,000. Semua kutipan akan disalurkan kepada tabung YA1M,” katanya.

Sementara itu bagi pihak yang berminat untuk menyaksikan konsert ini boleh menghubungi YA1M di talian 03-22763327. – mStar Online