Tamrin serang Muhyiddin di Pagoh

  • Nigel Aw
  • Malaysiakini Jun 17 2012
 
Penceramah Pakatan Rakyat, Tamrin Ghafar menjadikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai sasaran dalam satu ceramah di kawasan parlimen yang diwakili menteri tersebut.

Bercakap kepada kira-kira 300 hadirin dalam majlis minum petang di Sungai Terap, Bukit Pasir, anak kepada timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba itu mengimbau kembali dakwaan yang timbul ketika Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor antara 1986 hingga 1995.

"Adakah awak ingat sewaktu beliau menjadi menteri besar dalam isu ladang Stamford Holdings, kerajaan negeri terpaksa pergi ke mahkamah dan akhirnya diselesaikan di luar mahkamah?

"Siapa yang untung? (Tan Sri) Syed Mokhtar Al-Bukhary. Siapa yang buat dia kaya? Muhyiddin," katanya dalam majlis anjuran PAS Johor di DUN Jorak, dalam parlimen Pagoh semalam.

Tamrin merujuk kepada kes saman ke atas Muhyiddin, ahli perniagaan Datuk Yahya Taib dan Syed Mokhtar yang didakwa berkonspirasi untuk memiliki 6,600 ekar tanah yang dimiliki oleh Stamford Holdings.

Syarikat itu mendakwa telah diugut bahawa, sekiranya ia tidak menyertai usahasama untuk membangunkan tanah tersebut dengan menyerahkan 70 peratus ekuitinya, tanah syarikat itu akan diambil alih oleh kerajaan negeri.

Muhyiddin menafikannya dakwaan tersebut, yang disifatkan sebagai cubaan untuk menjejaskan kredibiliti dan merosakkan imejnya.

Kes tersebut berakhir dengan penyelesaian luar mahkamah di mana kerajaan negeri dan syarikat berkaitan diperintah membayar RM405 juta berbentuk pampasan untuk pengambilan tanah berkenaan.

Pemimpin Umno Serang Astro Kerana Siarkan Cabaran Debat Ke Atas Najib Secara Langsung

24 Mei, 2012


KUALA LUMPUR - Astro Awani dalam siaran ulangannya semalam, memotong bahagian moderator Dr Maszlee Malik yang mencabar debat antara Datuk Seri Najib Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan segera. Malam semalam, stesen berbayar itu menyiarkan secara langsung debat PTPTN anjuran Sinar Harian antara Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dengan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang dikendalikan Dr Maszlee Malik sebagai perantara.

Menariknya, dalam debat itu moderator secara terbuka mencabar perdana menteri dan ketua pembangkang berdebat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Tindakan itu sekaligus menghangatkan semula politik tanah air apabila cadangan debat itu sebenarnya pernah dibuat sendiri oleh Anwar sejak tahun lalu, namun tidak dilayan oleh Najib sehingga isu itu tenggelam begitu sahaja.

Namun dengan cadangan terbaru Maszlee dalam forum yang dipancar secara langsung di televisyen swasta itu, membuka semula isu tersebut untuk diperdebat rakyat.

Di Facebook, Twitter, blog sibuk memperkatakan perkara itu dan mahu Najib menerima cadangan untuk berdebat dengan Anwar yang telah lama dinanti-nanti oleh rakyat.

Di Youtube pula, rakaman cabaran debat yang diajukan oleh moderator itu juga turut dimuat naik. Bagaimanapun Astro didakwa memotong bahagian cabaran debat itu pada siaran ulangannya semalam.

Harakahdaily diberitahu, sebaik sahaja selesai debat itu, beberapa pemimpin Umno yang turut hadir telah menyerang pihak Astro kerana menyiarkan cabaran Dr Maszlee itu secara langsung. ~sinarharian