Maut dihempap 100 cermin



  • Maut dihempap 100 cermin
MUAR - Seorang pekerja warga Myanmar maut akibat dihempap 100 kepingan cermin seberat dua tan dalam kejadian di sebuah kedai menjual barangan itu di Jalan Sakeh, Bakri, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu berlaku ketika mangsa, Thang Ngaih Lian, 22, sedang memunggah di belakang kedai tersebut.

Seorang pekerja kedai itu yang enggan dikenali berkata, kejadian tersebut disedarinya selepas terdengar bunyi kuat benda jatuh dan berkecai.

Menurutnya, dia berasa tidak sedap hati apabila teringat Ngaih Lian berada di belakang kedai, dan tambah mengejutkan apabila melihat mangsa sudah berada dalam longkang kecil dihempap cermin setinggi kira-kira dua meter.

“Pagi tadi (semalam) mangsa ditugaskan memindahkan 500 keping cermin dengan berat 20 kilogram setiap keping ke dalam kedai daripada sebuah lori dengan dibantu tiga rakan senegaranya.

“Selesai mengangkat 350 keping cermin, mangsa berehat di atas lori dan tiga yang lain berehat di belakang lori sebelum meneruskan kerja menyelesaikan mengangkat baki cermin di atas lori,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, tiba-tiba, 100 keping cermin jatuh ke bahagian kanan lalu menghempap mangsa yang terjatuh dalam parit. Tambahnya, kepingan cermin pecah mencederakan bahagian leher, kepala, anggota badan mangsa dan mayatnya ditemui dalam keadaan berlumuran darah.


Katanya, pekerja lain yang turut menyedari kejadian tersebut menghubungi pihak bomba yang mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang baru 18 bulan bekerja di kedai berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob, mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala dan anggota badan lain akibat dihempap objek tersebut.

“Mayatnya dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. SH

Posting Komentar