Harakahdaily
Hazayani Zakaria, | 27 Jun 2012 |
(Azan [kiri] dalam sidang medianya bersama Khalid Samad)
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail hari ini tampil membuat pendedahan bahawa beliau pernah ditawarkan RM5 juta untuk lompat ke parti BN pada tahun 2010.
Azan dari PKR berkata, beliau ditawarkan jumlah tersebut dalam satu pertemuan di hotel lima bintang di ibu negara pada 27 Januari 2010.
"Ia berlaku di siang hari, di hotel lima bintang di Kuala Lumpur. Siri-siri tawaran ini sudah berlaku sejak 2010 lagi," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Azan juga mendakwa lebih "setengah dozen" ahli Parlimen PKR diberi tawaran sama malah sudah ada yang menerimanya dan lompat parti.
"Siri perundingan diatur dengan kemas dan orang yang terlibat yang mewakili pemimpin yang berjawatan tinggi," katanya lagi.
Menurutnya juga, terdapat banyak bukti yang menunjukkan berlakunya perundingan itu dan akan didedahkan untuk pengetahuan masyarakat.
"Saya rasa ini perlu dijadikan iktibar lebih-lebih lagi pilihan raya makin dekat. Rakyat pun semakin minat dengan integriti," katanya yang ditemani Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Khalid sebelum ini membuat dua siri pendedahan video dan audio berhubung pembelian ahli Parlimen PKR.
"Saya akan terus buat pendedahan demi pendedahan tentan pertemuan dan perundingan pembelian MP ini dan kita tengok siapa yang akan respons," katanya.
template joomla
Posting Komentar