Nahas bas Siasatan hampir selesai

Pasukan penyiasat dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya (MIRO S) membuat siasatan punca kemalangan pada bas yang dibawa keluar dari gaung di KM3.6 Jalan Genting-Kuala Lumpur.


BENTONG - Siasatan ke atas bas henti-henti yang terlibat dalam kejadian kemalangan di Kilometer 3.6 Jalan Genting- Kuala Lumpur Rabu lalu hampir selesai.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, siasatan sudah dijalankan di tempat kejadian semalam dan kertas siasatan sedang dilengkapkan.

Katanya, selepas berpuas hati dengan siasatan dijalankan, bas itu akan diserahkan kepada syarikat bas terbabit.

“Bas sudah dibawa ke Bentong dan ditempatkan di tempat khas bagi mengelakkan ia menjadi tumpuan orang awam.

“Hasil siasatan berhubung punca sebenar bas terjunam ke dalam gaung juga tidak dapat didedahkan setakat ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam perkembangan sama, terdapat dua mayat mangsa nahas iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang belum dituntut ahli keluarga setakat jam 12.30 tengah hari semalam.

Katanya, mereka yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil untuk membuat pengecaman di Hospital Kuala Lumpur.

Posting Komentar