24 Mei, 2012
KUALA LUMPUR - Astro Awani dalam siaran ulangannya semalam, memotong bahagian moderator Dr Maszlee Malik yang mencabar debat antara Datuk Seri Najib Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan segera. Malam semalam, stesen berbayar itu menyiarkan secara langsung debat PTPTN anjuran Sinar Harian antara Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dengan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang dikendalikan Dr Maszlee Malik sebagai perantara.
Menariknya, dalam debat itu moderator secara terbuka mencabar perdana menteri dan ketua pembangkang berdebat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Tindakan itu sekaligus menghangatkan semula politik tanah air apabila cadangan debat itu sebenarnya pernah dibuat sendiri oleh Anwar sejak tahun lalu, namun tidak dilayan oleh Najib sehingga isu itu tenggelam begitu sahaja.
Namun dengan cadangan terbaru Maszlee dalam forum yang dipancar secara langsung di televisyen swasta itu, membuka semula isu tersebut untuk diperdebat rakyat.
Di Facebook, Twitter, blog sibuk memperkatakan perkara itu dan mahu Najib menerima cadangan untuk berdebat dengan Anwar yang telah lama dinanti-nanti oleh rakyat.
Di Youtube pula, rakaman cabaran debat yang diajukan oleh moderator itu juga turut dimuat naik. Bagaimanapun Astro didakwa memotong bahagian cabaran debat itu pada siaran ulangannya semalam.
Harakahdaily diberitahu, sebaik sahaja selesai debat itu, beberapa pemimpin Umno yang turut hadir telah menyerang pihak Astro kerana menyiarkan cabaran Dr Maszlee itu secara langsung. ~sinarharian
Posting Komentar